Upacara Menandatangani Perjanjian  

Posted by @hmadHiRO in , , ,




PENGKALAN HULU 24 Feb. - Satu perjanjian telah dimeterai bersama antara Majlis Daerah Pengkalan Hulu (MAJLIS) dan Tetuan Fadzilah & Fikri Sdn. Berhad (PENILAI) pada pukul 11:00 pagi bagi melaksanakan Kerja-Kerja Penilaian Bagi Maksud Kadaran ke atas Harta-harta Awam dan Caruman Membantu Kadar, Dalam Kawasan Majlis Daerah Pengkalan Hulu.



Upacara tersebut disempurnakan oleh Pn. Siti Azura binti Hj. Juki (Setiausaha MDPH) sebagai mewakili pihak MAJLIS dan bagi mewakili Tetuan Fadzilah & Fikri Sdn. Bhd. Datin Fadzilah binti Abu Bakar yang merupakan Pengarah bagi syarikat itu sendiri.


Upacara juga disaksikan bersama dengan 3 orang Ahli MAJLIS iaitu En. Prawat a/l Din Che Ron, En. Zulhasmi bin Mohd Zabidi dan En. Cheah Leng Poh serta 2 orang wakil daripada syaraikat berkenaan. Bagi penyempurnaan perjanjian ini En. Slyverter Ogang telah menurunkan tandatangan sebagai saksi kepada perjanjian yang telah ditandatangani.


Dengan termeterainya perjanjian tersebut, maka dengan rasminya Tetuan Fadzilah & Fikri Sdn. Bhd. sebagai PENILAI yang akan melakukan penilaian ke atas harta-harta di kawasan Kampung Padang Tamat dan Kampung Simpang Pulai serta semua harta kerjaan persekutuan dan erta kerajaan negeri di dalam kawasan MAJLIS. - @hmadHiRO

BAHAGIAN XV - KADAR DAN NILAIAN (AKTA 171)  

Posted by @hmadHiRO in ,

AKTA KERAJAAN TEMPATAN 1976
AKTA 171


BAHAGIAN XV
KADAR DAN NILAIAN


Kuasa untuk mengenakan kadar

127. Pihak berkuasa tempatan boleh, dengan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri, dari semasa ke semasa sebagaimana difikirkan perlu, mengenakan sama ada secara berasingan atau sebagai suatu kadar yang disatukan, kadar atau kadar tahunan dalam sesuatu kawasan pihak berkuasa tempatan bagi maksud Akta ini atau bagi maksud lain yang mana adalah kewajipan pihak berkuasa tempatan itu menyempurnakannya di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang lain.

Kadar tambahan

128. Selain daripada kadar yang tersebut dalam seksyen 127, pihak berkuasa tempatan boleh dengan cara yang serupa mengenakan suatu kadar perparitan mengikut seksyen 132.

Membahagikan kawasan dan pegangan bagi maksud kadar

129. Bagi maksud Bahagian ini, pihak berkuasa tempatan boleh membahagikan kawasannya kepada dua bahagian atau lebih dan boleh, mengenai bahagian atau bahagian-bahagian yang berasingan itu, mengenakan apa-apa kadar atau kadar-kadar yang difikirkan patut dan wajar dan pihak berkuasa tempatan boleh selain daripada itu mengenakan dalam bahagian atau bahagian-bahagian itu suatu kadar yang berlainan mengikut kegunaan sebenar pegangan itu atau bahagian pegangan itu.

Asas taksiran kadar

130. (1) Apa-apa kadar atau kadar-kadar yang dikenakan di bawah Bahagian ini boleh ditaksirkan atas nilai tahunan pegangan atau atas nilai tambah pegangan sebagaimana yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri.

(2) Jika sesuatu kadar atau kadar-kadar ditaksirkan atas nilai tahunan pegangan kadar atau kadar-kadar itu hendaklah tidak boleh lebih daripada—
(a) tiga puluh lima peratus dari nilai tahunan, iaitu mengenai kadar yang dikenakan di bawah seksyen 127;
(b) (Dipotong oleh Akta A865);
(c) lima peratus dari nilai tahunan, iaitu mengenai kadar yang dikenakan di bawah seksyen 132.

(3) Jika sesuatu kadar atau kadar-kadar ditaksirkan atas nilai tambah pegangan, kadar atau kadar-kadar itu hendaklah tidak boleh lebih daripada—
(a) lima peratus dari nilai tambah, iaitu mengenai kadar yang dikenakan di bawah seksyen 127;
(b) (Dipotong oleh Akta A865);
(c) satu peratus dari nilai tambah, iaitu mengenai kadar yang dikenakan di bawah seksyen 132.

131. (Dipotong oleh Akta A865).

Kadar perparitan

132. Kadar perparitan boleh dikenakan untuk menampung kos pembinaan sesuatu sistem perparitan.

Lamanya tempoh kadar

133. Kadar yang tersebut dalam seksyen 127 dan seksyen 128 hendaklah berterusan selama sesuatu tempoh tidak melebihi dua belas bulan dan hendaklah kena dibayar tiap-tiap setengah tahun terlebih dahulu oleh pemunya pegangan itu di pejabat pihak berkuasa tempatan atau di tempat lain yang ditetapkan dalam bulan Januari dan bulan Julai dan hendaklah ditaksirkan dan dilevi mengikut cara yang diperuntukkan di dalam ini kemudian daripada ini.

Pengecualian dari kadar

134. Apabila sesuatu pegangan atau mana-mana bahagiannya digunakan semata-mata—
(a) sebagai tempat awam untuk sembahyang;
(b) sebagai tanah perkuburan atau tempat membakar mayat awam yang berlesen;
(c) bagi sekolah awam;
(d) sebagai tempat awam bagi maksud khairat atau bagi maksud sains, sastera atau seni halus,
dan bukan untuk mendapatkan keuntungan wang, Pihak Berkuasa Negeri boleh, menurut budi bicaranya, mengecualikan pegangan itu atau mana-mana bahagian pegangan itu dari pembayaran apa-apa kadar.

Pengecualian atau pengurangan kadar

135. Apabila sesuatu pegangan atau sesuatu bahagian daripadanya digunakan semata-mata bagi maksud rekreasi, sosial atau kebajikan, dan bukan untuk mendapat keuntungan wang Pihak Berkuasa Negeri boleh, menurut budi bicaranya, mengecualikan pegangan atau bahagian pegangan itu daripada pembayaran semua atau manamana kadar atau boleh mengurangkan apa-apa kadar yang dikenakan ke atas pegangan atau bahagian pegangan itu.

Kadar minimum yang kena dibayar

136. Jika kadar yang dikenakan mengenai sesuatu pegangan adalah kurang daripada lima ringgit setahun, tiada apa-apa kadar kena dibayar.

Menyediakan Senarai Nilaian

137. (1) Pihak berkuasa tempatan hendaklah menyebabkan suatu Senarai Nilaian bagi segala pegangan yang tidak dikecualikan daripada pembayaran kadar disediakan mengandungi—
(a) nama jalan atau tempat di mana pegangan itu terletak;
(b) perihal pegangan itu sama ada dengan nama atau nombor yang cukup untuk mengenalinya;
(c) nama pemunya dan penduduknya, jika diketahui;
(d) nilai tahunan atau nilai tambah pegangan itu.

(2) Senarai Nilaian itu bersama dengan pindaan yang dibuat di bawah seksyen 144 hendaklah terus lagi berkuat kuasa sehingga ia digantikan dengan suatu Senarai Nilaian baru.

(3) Sesuatu Senarai Nilaian baru yang mengandungi butir-butir yang sama seperti dalam subseksyen (1) hendaklah disediakan dan disiapkan sekali tiap-tiap lima tahun atau dalam tempoh yang dilanjutkan sebagaimana ditentukan oleh Pihak Berkuasa Negeri.

Perihal jika nama pemunya tidak diketahui

138. Jika nama pemunya atau penduduk tidak diketahui memadailah memperihalkan pemunya atau penduduk itu dalam Senarai Nilaian dan dalam apa-apa tindakan untuk menuntut apa-apa kadar sebagai “pemunya” atau “penduduk” pegangan atas mana kadar itu ditaksirkan tanpa perihal tambahan.

Nilaian bersama atau berasingan

139. Pegawai Penilai boleh, menurut budi bicaranya, menilai sesuatu pegangan atau pegangan-pegangan secara bersama atau berasingan.

Penyata boleh dikehendaki

140. (1) Untuk membolehkan pihak berkuasa tempatan mentaksirkan nilai pegangan yang kena ditaksirkan, pihak berkuasa tempatan boleh menghendaki pemunya atau penduduknya memberi penyata mengenai luasnya, tempat letaknya, kualiti, guna dan sewanya dan memberi segala maklumat yang perlu untuk menyediakan Senarai Nilaian ataupun bagi maksud nilaian itu, dan bagi maksud yang serupa pihak berkuasa tempatan atau seseorang yang dilantik olehnya bagi maksud itu boleh, pada bila-bila masa memasuki dan memeriksa dan, jika perlu, mengukurnya.

(2) Seseorang yang—
(a) enggan atau tidak memberi penyata atau maklumat itu dalam tempoh dua minggu dari tarikh diterima notis menghendakinya berbuat demikian;
(b) dengan diketahuinya membuat suatu penyata palsu atau tidak betul atau memberi suatu maklumat palsu atau tidak betul;
(c) merintangi, menghalang atau menahan pihak berkuasa tempatan atau seseorang yang dilantik olehnya daripada memasuki, memeriksa atau mengukur mana-mana pegangan itu,
boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Notis mengenai Senarai Nilaian baru hendaklah disiarkan

141. (1) Jika sesuatu Senarai Nilaian telah disediakan atau diterima serta dipakai di bawah seksyen 137 pihak berkuasa tempatan hendaklah memberi notis mengenainya dan mengenai tempat di mana Senarai Nilaian atau salinannya boleh diperiksa dalam Warta dan melalui iklan dalam dua surat khabar tempatan sekurangkurangnya satu daripadanya ialah dalam bahasa kebangsaan.

(2) Seseorang yang mengaku sebagai sama ada pemunya atau penduduk sesuatu pegangan yang termasuk dalam Senarai Nilaian atau sebagai ejen mana-mana orang itu boleh memeriksa Senarai Nilaian itu dan membuat cabutan daripadanya tanpa bayaran.

(3) Pihak berkuasa tempatan hendaklah memberi notis dengan cara yang sama mengenai hari yang tidak kurang daripada empat puluh dua hari dari tarikh pemberitahuan itu dalam Warta bila pihak berkuasa tempatan akan bertindak menyemak Senarai Nilaian dan mengenai semua hal dalam mana sesuatu pegangan adalah pada kali pertama dinilai atau nilaian atasnya telah bertambah, pihak berkuasa tempatan hendaklah juga memberi notis kepada pemunya atau penduduknya.

Bantahan

142. (1) Seseorang yang terkilan atas mana-mana daripada alas an yang berikut:
(a) bahawa sesuatu pegangan yang baginya dia dikenakan kadar adalah dinilai lebih daripada nilainya yang boleh dikenakan kadar;
(b) bahawa sesuatu pegangan yang dinilai adalah pegangan yang tidak boleh dikenakan kadar;
(c) bahawa seseorang atau sesuatu pegangan yang sepatutnya termasuk dalam Senarai Nilaian itu adalah ditinggalkan daripadanya;
(d) bahawa sesuatu pegangan adalah dinilai kurang daripada nilainya yang boleh dikenakan kadar; atau
(e) bahawa sesuatu pegangan atau pegangan-pegangan yang telah dinilai secara bersesama atau berasingan sepatutnya dinilai secara lain,

boleh membuat bantahan secara bertulis kepada pihak berkuasa tempatan pada bila-bila masa tidak kurang daripada empat belas hari sebelum masa yang ditetapkan untuk menyemak Senarai Nilaian itu.

(2) Segala bantahan hendaklah disiasat dan mereka yang membuatnya hendaklah diberi peluang untuk didengar dalam penyiasatan itu sama ada mereka sendiri atau melalui ejen yang diberi kuasa.

Mengesahkan Senarai Nilaian baru

143. (1) Pada atau sebelum 31 Disember dalam tahun sebelum sahaja tahun dalam mana sesuatu Senarai Nilaian akan mula berkuat kuasa, pihak berkuasa tempatan hendaklah, dengan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri, mengesahkan Senarai Nilaian itu dengan atau tanpa apa-apa pindaan atau perubahan dan Senarai Nilaian yang disahkan sedemikian hendaklah disifatkan sebagai Senarai Nilaian sehingga suatu masa ia digantikan dengan suatu Senarai Nilaian lain.

(2) Senarai Nilaian yang disahkan yang tersebut dalam subseksyen (1) hendaklah disimpan di pejabat pihak berkuasa tempatan dan hendaklah terbuka di situ untuk diperiksa dalam waktu pejabat oleh semua pemunya dan penduduk pegangan yang terkandung di dalamnya, dan suatu notis yang ia terbuka sedemikian untuk diperiksa menyatakan tempat pemeriksaan hendaklah disiarkan dengan segera.

(3) Pihak berkuasa tempatan tidak boleh dikehendaki mendengar dan memutuskan segala bantahan terhadap Senarai Nilaian sebelum mengesahkan Senarai Nilaian itu mengikut subseksyen (1), dan jika sesuatu bantahan tidak didengar dan diputuskan sebelum Senarai
Nilaian itu disahkan bantahan itu hendaklah didengar dan diputuskan dengan seberapa segera kemudian daripadanya dan dengan akibat yang sama seolah-olah bantahan itu telah didengar dan diputuskan sebelum Senarai Nilaian itu telah disahkan sedemikian, dan sehingga bantahan itu telah didengar dan diputuskan kenaikan tentang nilaian atau nilaian baru yang dibantah itu hendaklah jangan disifatkan sebagai berkuat kuasa dan kadar yang lama hendaklah masih kena dibayar.

Pindaan kepada Senarai Nilaian

144. (1) Jika oleh sebab—
(a) kesilapan, alpa atau fraud nama seseorang atau butirbutir nama pegangan berkadar yang sepatutnya telah dimasukkan dalam atau ditinggalkan dari Senarai Nilaian telah ditinggalkan dari atau dimasukkan dalam Senarai Nilaian, mengikut mana-mana yang berkenaan, atau sesuatu pegangan berkadar telah dinilaikan dengan tidak mencukupi atau dengan berlebihan atau kerana apa-apa jua sebab lain, sesuatu pegangan berkadar telah tidak dimasukkan dalam Senarai Nilaian itu;
(b) apa-apa bangunan didirikan, diubah suai, diubah, diruntuhkan atau dibina semula, atau kemajuan lain dibuat pada sesuatu pegangan berkadar, nilainya telah dinaikkan;
(c) apa-apa bangunan atau bahagian sesebuah bangunan diruntuhkan atau apa-apa kerja lain dijalankan di atas pegangan berkadar, nilainya telah diturunkan;
(d) apa-apa pegangan berkadar yang telah dimasukkan dalam suatu nilaian bersama dan yang pada pendapat Pegawai Penilai sepatutnya telah dinilai secara berasingan atau selainnya;
(e) dikeluarkan apa-apa hakmilik baru mengenai sesuatu pegangan;
(f) apa-apa perubahan pada pegangan berkadar disebabkan oleh mana-mana undang-undang berhubungan dengan perancangan, yang mengakibatkan nilai pegangan itu naik atau turun,

Pegawai Penilai boleh pada bila-bila masa meminda Senarai Nilaian itu dengan sewajarnya dan kadar hendaklah kena dibayar mengenai pegangan yang berkenaan itu mengikut Senarai Nilaian yang dipinda sedemikian.

(2) Notis hendaklah diberi kepada semua orang yang ada kenamengena dengan pindaan mengenai masa pindaan itu akan dibuat, yang tidak kurang daripada tiga puluh hari dari tarikh notis itu disampaikan.

(3) Seseorang yang terkilan dengan pindaan kepada Senarai Nilaian atas mana-mana daripada alasan yang dinyatakan dalam seksyen 142 boleh membuat bantahan secara bertulis kepada pihak berkuasa tempatan tidak kurang daripada sepuluh hari sebelum masa yang ditetapkan dalam notis itu dan hendaklah diberi peluang untuk didengar sendiri atau melalui seseorang ejen yang diberi kuasa.

(4) Apa-apa pindaan yang dibuat di bawah seksyen ini boleh, menurut budi bicara pihak berkuasa tempatan, memberi perhatian kepada aras nilai-nilai tahunan atau nilai tambah yang terdapat seperti pada atau lebih kurang pada masa Senarai Nilaian semasa telah disediakan.

(5) Apa-apa pindaan yang dibuat dalam Senarai Nilaian mengikut seksyen ini hendaklah disahkan oleh pihak berkuasa tempatan.

(6) Jika oleh kerana sesuatu pindaan dalam Senarai Nilaian kadar yang kena dibayar mengenai sesuatu pegangan dinaikkan, dikurangkan atau dihapuskan, maka kadar baru itu hendaklah kena dibayar, atau kadar itu hendaklah terhenti daripada kena dibayar, mulai dari permulaan setengah tahun yang berikut selepas saja daripadanya atau sesuatu tarikh yang lebih awal mengikut sebagaimana yang ditentukan oleh pihak berkuasa tempatan.

Rayuan

145. (1) Jika seseorang telah membuat suatu bantahan mengikut cara yang ditetapkan oleh seksyen 142 atau 144 dan dia tidak puas hati dengan keputusan pihak berkuasa tempatan mengenai bantahan itu orang itu boleh merayu kepada Mahkamah Tinggi dengan cara usul permulaan:

Dengan syarat bahawa bersama dengan pemfailan usul permulaan itu hendaklah dibayar kepada pihak berkuasa tempatan amaun kadar yang rayuan dibuat terhadapnya itu.

(2) Usul permulaan itu hendaklah difailkan oleh orang yang tidak puas hati dengan keputusan pihak berkuasa tempatan itu dalam tempoh empat belas hari dari penerimaan keputusan itu.

(3) Pihak berkuasa tempatan ialah pihak menentang dalam sesuatu rayuan di bawah seksyen ini.

(4) Tiap-tiap rayuan itu hendaklah didengar di hadapan Mahkamah Tinggi dan keputusannya atas soal fakta adalah akhir dan muktamad.

(5) Dari keputusan Mahkamah Tinggi itu salah satu pihak boleh merayu atas soal undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan dan keputusan Mahkamah Persekutuan akhir dan muktamad.

(6) Dalam sesuatu rayuan di bawah subseksyen (5), peruntukan mana-mana undang-undang bertulis yang pada masa itu berkuat kuasa berhubungan dengan rayuan dalam perkara sivil terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam bidang kuasa rayuannya ke Mahkamah Persekutuan hendaklah dipakai.

Kadar hendaklah menjadi tanggungan pertama

146. Semua kadar hendaklah dibayar oleh orang yang mana adalah pemunya pegangan pada masa itu, dan sehingga dibayar kadar itu hendaklah, tertakluk kepada peruntukan Kanun Tanah Negara [Akta 56 tahun 1965], menjadi tanggungan pertama ke atas pegangan yang mengenainya kadar itu ditaksirkan, dan jika tidak dibayar dalam tempoh yang ditetapkan, kadar itu boleh dituntut mengikut cara yang ditetapkan dalam ini kemudian daripada ini.

Tindakan jika kadar tidak dibayar

147. (1) Jika apa-apa jumlah wang yang kena dibayar mengenai sesuatu kadar masih belum dibayar pada akhir bulan Februari atau bulan Ogos, mengikut mana-mana yang berkenaan, pemunya atau pemunya-pemunya adalah bertanggungan membayar jumlah wang itu bersama dengan apa-apa bayaran yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa.

(2) Jika mana-mana jumlah wang itu atau mana-mana bahagiannya masih terhutang dan belum dibayar hingga akhir bulan Februari atau hingga akhir bulan Ogos dalam setiap tahun, mengikut manamana yang berkenaan, jumlah wang itu hendaklah disifatkan sebagai suatu tunggakan dan boleh dituntut sebagaimana diperuntukkan dalam seksyen 148.

Tindakan untuk menuntut tunggakan

148. (1) Untuk menuntut sesuatu tunggakan, pihak berkuasa tempatan boleh mengeluarkan suatu waran tahanan dalam Borang F dalam Jadual Pertama kepada Akta ini dan boleh menyita menurut waran itu apa-apa harta alih kepunyaan pemunya atau penduduk yang bertanggungan membayarnya, yang dijumpai dalam kawasan pihak berkuasa tempatan itu dan juga boleh menyita apa-apa harta alih kepunyaan sesiapa jua pun yang dijumpai pada pegangan yang mengenainya tunggakan itu kena dibayar:

Dengan syarat bahawa tiada sesuatu waran tahanan boleh dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan melainkan jika pihak berkuasa tempatan itu telah menyampaikan suatu notis dalam Borang E dalam Jadual Pertama kepada Akta ini, mengeposkan atau menyerahkan kepada pemunya atau mana-mana seorang daripada pemunya-pemunya, jika lebih daripada seorang, di alamat yang akhir diketahui, memintanya supaya membayar tunggakan itu dalam tempoh lima belas hari selepas notis itu dipos atau diserahkan.

(2) Waran itu hendaklah dilaksanakan oleh seorang pegawai pihak berkuasa tempatan dan pegawai itu hendaklah membuat suatu inventori mengenai harta yang ditahan di bawah waran itu, dan hendaklah pada masa yang sama memberi notis dalam Borang G dalam Jadual Pertama kepada Akta ini, kepada orang yang memilik harta itu pada masa harta itu ditahan:

Dengan syarat bahawa jika pada pendapat pegawai yang melaksanakan waran itu nilai harta alih yang hendak ditahan itu adalah kurang nilainya daripada tunggakan yang hendak dituntut atau jika tiada apa-apa harta alih yang hendak ditahan seperti dalam hal sesuatu pegangan yang kosong atau tidak diduduki maka tiada apa-apa inventori perlu dibuat dan dalam hal yang demikian pegawai itu hendaklah menampalkan suatu notis dalam Borang H dalam Jadual Pertama kepada Akta ini di sesuatu tempat yang mudah dilihat di pegangan itu atau di mana-mana satu daripada pegangan yang mengenainya tunggakan itu kena dibayar yang bermaksud bahawa acara tuntutan itu akan dijalankan di bawah seksyen 151.

(3) Pegawai itu boleh memecah buka pada waktu siang manamana rumah atau bangunan bagi maksud melaksanakan tahanan itu.

(4) Bayaran bagi waran tahanan ialah sebanyak yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa dan menjadi kos tahanan itu.

Jualan harta yang ditahan

149. (1) Melainkan jika tunggakan berserta kos dibayar dalam tempoh tujuh hari dari tarikh tahanan, harta yang ditahan itu atau mana-mana bahagian daripadanya sebagaimana yang perlu hendaklah dijual melalui lelongan awam:

Dengan syarat bahawa jika harta yang disita itu daripada jenis mudah rosak atau jika belanja bagi menyimpannya akan melebihi nilainya harta itu bolehlah dijual dengan serta-merta.

(2) Belanja bagi memelihara ternakan dan menyimpan harta alih menjadi kos tahanan.

Menggunakan hasil jualan

150. Hasil jualan hendaklah digunakan bagi menjelaskan tunggakan berserta bunganya mengikut kadar enam peratus setahun dan juga kos, dan surplusnya, jika ada, hendaklah dibayar kepada orang yang memiliki harta itu pada masa harta itu ditahan.

Menahan dan menjual pegangan

151. (1) Jika tunggakan itu tidak boleh didapati dengan cara yang diperuntukkan dalam seksyen 148 adalah sah bagi Pendaftar Mahkamah Tinggi, apabila permohonan dibuat oleh pihak berkuasa tempatan, atau oleh mana-mana pegawai pihak berkuasa tempatan yang diberi kuasa oleh pihak berkuasa tempatan itu bagi maksud itu, memerintahkan ditahan dan dijual pegangan atau peganganpegangan yang mengenainya tunggakan itu telah terakru.

(2) Tahanan dan jualan itu boleh dilaksanakan dengan cara yang diperuntukkan oleh undang-undang berhubungan dengan acara sivil untuk pelaksanaan sesuatu dekri dengan menahan dan menjual harta tak alih.

(3) Pendaftar Mahkamah Tinggi hendaklah, dari hasil jualan itu, memperuntukkan pertamanya kos bagi tahanan dan jualan, kemudiannya pembayaran amaun tunggakan kepada pihak berkuasa tempatan, berserta bunganya mengikut kadar enam peratus setahun dan juga kos dan jika sekiranya ada apa-apa surplus Pendaftar hendaklah, jika dia puas hati tentang hak seseorang yang menuntut surplus itu, membayar amaun surplus itu kepada orang itu, dan jika Pendaftar tidak puas hati sedemikian hendaklah meletakkan amaun itu sebagai deposit dalam Perbendaharaan untuk dipegang sebagai amanah untuk orang yang mungkin akhirnya berjaya membuktikan tuntutannya ke atasnya.

(4) Pihak berkuasa tempatan boleh, menurut budi bicaranya, enggan menyita dan menjual, atau boleh melepaskan dari tahanan, mana-mana harta yang boleh disita dengan sah di bawah seksyen 148 jika harta itu adalah harta penduduk, iaitu seorang penyewa, pegangan itu atau harta seseorang yang tidak bertanggungan membayar sesuatu tunggakan yang kena dibayar mengenai pegangan itu.

(5) Jika harta itu adalah harta seorang penyewa-penduduk, pihak berkuasa tempatan hendaklah jangan menyita dan menjual, atau hendaklah melepaskan dari tahanan, harta itu:

Dengan syarat penyewa-penduduk itu membayar kepada pihak berkuasa tempatan sewa pegangan itu apabila sahaja genap masanya dibayar sehingga tunggakan itu selesai atau sehingga penyewaannya tamat dan dalam mana-mana hal yang demikian, walau apapun yang terkandung dalam subseksyen (1), pegangan itu boleh ditahan dan dijual.

(6) Amaun apa-apa sewa yang dibayar oleh seseorang penyewa-penduduk kepada pihak berkuasa tempatan di bawah subseksyen (5) boleh dipotong oleh penyewa-penduduk itu dari bayaran sewa selepas saja daripada itu dan berikutnya kepada pemunya pegangan itu.

Menuntut kos

152. Semua kos bagi apa-apa tindakan di bawah Bahagian ini untuk menuntut tunggakan boleh dituntut seolah-olah kos itu menjadi sebahagian daripada tunggakan.

Kuasa untuk memberhentikan jualan

153. Jika seseorang yang mempunyai apa-apa kepentingan mengenai apa-apa harta yang boleh kena dijual di bawah Bahagian ini membayar pada bila-bila masa sebelum harta itu dijual tunggakan itu berserta bunga dan kos, pihak berkuasa tempatan hendaklah dengan itu berhenti mengambil segala tindakan selanjutnya mengenainya, dan jika harta itu telah ditahan oleh mahkamah di bawah seksyen 151, orang itu hendaklah memberitahu mahkamah mengenai pembayaran itu.

Bantahan terhadap tahanan

154. (1) Jika seseorang yang telah ditahan hartanya di bawah peruntukan Bahagian ini mempertikaikan kepatutan tahanan itu dia boleh memohon kepada Mahkamah Tinggi jika harta yang ditahan itu ialah suatu pegangan, atau kepada Mahkamah Majistret jika harta yang ditahan itu ialah harta alih, untuk suatu perintah menggantung tindakan itu, dan mahkamah itu selepas menjalankan apa-apa penyiasatan yang perlu hendaklah membuat apa-apa perintah yang patut mengenai hal yang tersebut di atas.

(2) Tiada apa-apa permohonan boleh dilayani oleh mana-mana Mahkamah melainkan jika pemohon telah mendepositkan dengan pihak berkuasa tempatan amaun tunggakan itu berserta bunga dan kos.

Menuntut kadar yang telah dibayar oleh penduduk

155. Jika jumlah wang yang kena dibayar oleh pemunya sesuatu pegangan oleh sebab apa-apa kadar atau kos adalah dibayar oleh penduduk pegangan itu penduduk itu boleh, walau apa pun yang terkandung dalam sesuatu perjanjian atau perkiraan dengan pemunya, memotong daripada bayaran sewanya selepas saja daripada itu dan berikutnya amaun yang mungkin telah dibayar sedemikian olehnya.

Tunggakan boleh didakwa sebagai hutang

156. Walau apa pun yang terkandung dalam ini, sesuatu tunggakan boleh dituntut dan didapatkan sebagai suatu hutang dalam sesuatu mahkamah yang mempunyai bidang kuasa berwibawa oleh pihak berkuasa tempatan atas nama rasminya daripada mana-mana orang yang bertanggungan membayar tunggakan itu.

Keterangan mengenai kadar

157. Pengemukaan buku atau rekod yang berupa sebagai mengandungi apa-apa kadar atau taksiran yang dibuat di bawah Bahagian ini adalah, tanpa apa-apa jua keterangan lain, menjadi bukti prima facie mengenai pembuatan dan sahnya kadar atau taksiran yang tersebut di dalamnya itu.

Taksiran, dsb., yang tidak mengikut bentuk cara tidak boleh dicabar

158. (1) Tiada apa-apa nilaian atau kadar yang ditaksirkan atasnya, tiada apa-apa pengenaan atau tuntutan mengenai apa-apa kadar dan tiada apa-apa tahanan atau jualan boleh dicabar atau terjejas oleh sebab apa-apa kesilapan tentang—
(a) nama seseorang yang bertanggungan membayar kadar itu;
(b) perihal sesuatu pegangan yang bertanggungan terhadap kadar itu;
(c) amaun kadar yang ditaksirkan atasnya; atau
(d) cara tahanan atau jualan,

jika kehendak Bahagian ini atau kehendak mana-mana undangundang kecil, kaedah atau peraturan adalah dipatuhi pada asasnya dan dengan sebenarnya.

(2) Tiada apa-apa tindakan di bawah Bahagian ini untuk menuntut sesuatu kadar boleh dibatalkan atau diketepikan dalam mana-mana mahkamah oleh sebab tidak mengikut bentuk cara.

Tanggungan pemunya atas pemecah bahagian atau penyatuan pegangan

159. Apabila pegangan dipecah bahagi atau disatukan pemunyanya adalah bertanggungan membayar sehingga akhir tahun dalam mana pemecah bahagian atau penyatuan itu dilakukan atau sehingga mula berkuatkuasanya suatu Senarai Nilaian baru, mengikut mana yang terlebih dahulu, segala kadar, tunggakan, bunga dan kos yang kena dibayar atasnya seolah-olah pemecah bahagian atau penyatuan itu telah tidak dibuat.

Notis mengenai pindah milik pegangan berkadar

160. (1) Apabila sesuatu pegangan berkadar dalam sesuatu kawasan pihak berkuasa tempatan dijual atau dipindah milik adalah menjadi kewajipan penjual atau pemindah milik dan pembeli atau penerima pindah milik dalam tempoh tiga bulan selepas jualan atau pindah milik itu memberi notis mengenainya kepada pihak berkuasa tempatan dalam Borang I dalam Jadual Pertama kepada Akta ini.

(2) Apabila pemunya sesuatu pegangan berkadar dalam sesuatu kawasan pihak berkuasa tempatan mati, menjadi kewajipan orang yang menjadi pemunyanya melalui warisan atau selainnya member notis mengenainya kepada pihak berkuasa tempatan dalam tempoh satu tahun selepas kematian itu dalam Borang J dalam Jadual Pertama kepada Akta ini.

(3) Apabila diterima notis itu, pihak berkuasa tempatan boleh menghendaki dikemukakan surat cara mengenai pertukaran pemunyaan atau suatu salinannya yang diperakui.

(4) Tiap-tiap orang yang menjual atau memindah milik sesuatu pegangan berkadar dalam sesuatu kawasan pihak berkuasa tempatan masih lagi bertanggungan membayar semua kadar yang kena dibayar mengenai pegangan itu dan melaksanakan segala kewajipan lain yang dipertanggungkan oleh Bahagian ini atau oleh mana-mana undang-undang kecil ke atas pemunya pegangan itu, yang kena dibayar atau akan dilaksanakan pada bila-bila masa sebelum notis mengenai pindah milik itu diberi atau sehingga jualan atau pindah milik itu telah direkodkan dalam buku pihak berkuasa tempatan itu.

(5) Tiada apa-apa jua dalam ini boleh menyentuh tanggungan pembeli atau penerima pindah milik untuk membayar kadar mengenai pegangan itu atau untuk melaksanakan kewajipan itu, atau menyentuh hak pihak berkuasa tempatan untuk menuntut kadar itu atau untuk menguatkuasakan kewajipan itu di bawah Bahagian ini walaupun kadar itu kena dibayar atau kewajipan itu telah ditanggungkan sebelum notis mengenai jualan atau pindah milik itu direkodkan.

(6) Tiap-tiap orang yang tidak memberi sesuatu notis boleh, apabila disabitkan didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau keduaduanya.

Notis mengenai bangunan baru

161. (1) Jika sesuatu bangunan baru didirikan atau jika sesuatu bangunan dibina semula, dibesarkan, diubah, dibaiki, dibarui, atau jika sesuatu bangunan yang telah kosong diduduki semula pemunya pegangan di atas mana bangunan itu terletak hendaklah dalam tempoh lima belas hari memberi notis mengenainya secara bertulis kepada pihak berkuasa tempatan.

(2) Tempoh lima belas hari yang tersebut itu hendaklah dikira dari tarikh siapnya atau tarikh diduduki, mengikut mana yang berlaku terlebih dahulu, bangunan yang baru telah didirikan, dibina semula, dibesarkan, diubah, dibaiki atau dibarui itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, dan mengenai sesuatu bangunan yang telah kosong, dari tarikh bangunan itu diduduki semula.

(3) Apabila sesuatu bangunan atau bahagian sesuatu bangunan diruntuhkan atau dihapuskan melainkan dengan perintah pihak berkuasa tempatan, pemunya pegangan itu hendaklah member notis mengenai mulanya peruntukan atau penghapusan itu secara bertulis kepada pihak berkuasa tempatan.

(4) Pihak berkuasa tempatan boleh apabila menerima notis itu dan jika ia puas hati bahawa peruntukan itu sedang dijalankan dengan sepatut dan seharusnya, memerintahkan bahawa kadar yang ditaksirkan mengenai mana-mana pegangan itu dikurangkan dan jika telahpun dibayar, dipulangkan balik mengikut kadar amaun taksiran pegangan itu berhubungan dengan bangunan itu atau bahagian bangunan yang sedang diruntuh atau dihapuskan itu.

(5) Sehingga notis itu diberi pemunya adalah masih lagi bertanggungan membayar kadar mengenai pegangan itu seolah-olah bangunan atau bahagian sesuatu bangunan itu telah tidak diruntuh atau dihapuskan.

(6) Tiap-tiap orang yang tidak memberi sesuatu notis boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau keduaduanya.

Pulangan balik mengenai bangunan yang tidak diduduki

162. (1) Jika sesuatu bangunan tidak diduduki dan tiada apa-apa sewa kena dibayar mengenainya selama tempoh tidak kurang dari satu bulan kalendar dalam mana-mana setengah tahun yang mengenainya suatu kadar telah dibayar pihak berkuasa tempatan boleh memerintahkan supaya sebahagian daripada kadar itu yang seimbang dengan tempoh bangunan itu tidak diduduki dipulangkan balik atau diremit, mengikut mana-mana yang berkenaan.

(2) Tiada apa-apa pulangan balik atau remitan boleh diperintah melainkan jika orang yang menuntutnya itu telah memberi notis bertulis kepada pihak berkuasa tempatan mengenai kekosongan itu dalam masa tujuh hari dari mulanya tempoh yang mengenainya pulangan balik atau remitan itu dituntut dan mengenai sesuatu pulangan balik orang itu telah menuntut pembayarannya secara bertulis tidak lewat daripada satu bulan selepas tamatnya setengah tahun yang mengenainya tuntutan itu dibuat.

(3) Tiada apa-apa pulangan balik atau remitan boleh diperintah mengenai sesuatu bangunan melainkan jika pemunya pegangan yang berkenaan itu membuktikan dengan memuaskan hati pihak berkuasa tempatan—

(a) bahawa bangunan itu berada dalam keadaan baik dan layak untuk diduduki;
(b) bahawa segala usaha yang munasabah untuk mendapatkan seseorang penyewa telah dibuat;
(c) bahawa sewa yang diminta adalah sewa yang munasabah;
(d) bahawa bangunan itu telah kosong selama tempoh yang baginya pulangan balik itu dituntut:

Dengan syarat bahawa apabila sesuatu pulangan balik dituntut mengenai suatu tempoh dalam masa bila bangunan itu telah dibaiki bagi maksud menjadikan ia layak untuk diduduki atau untuk pembinaan semula bona fide tidaklah perlu dibuktikan mengenai tuntutan itu perkara yang dinyatakan dalam perenggan (a), (b) dan (c).

(4) Tuntutan hendaklah menyatakan tarikh bila bangunan itu telah tidak diduduki dan juga alamat ke mana perhubungan mengenainya boleh dihantar.

(5) Bagi maksud seksyen ini, ungkapan “bangunan” termasuklah—
(a) sesuatu flat yang lengkap dalam bangunan yang didirikan dengan kelulusan pihak berkuasa tempatan;
(b) mana-mana seluruh tingkat sesuatu bangunan yang mempunyai jalan masuk yang berasingan; dan
(c) ruang lantai tidak kurang daripada 1,000 kaki persegi pada tingkat yang sama sesuatu bangunan yang boleh disewakan sebagai suatu pejabat, kedai, kilang, gudang atau kegunaan lain yang seumpamanya.

Peruntukan bagi mengkadar bangunan di atas tanah Kerajaan Negeri atau tanah yang dirizabkan

163. (1) Mengenai bangunan yang terletak di atas tanah Kerajaan Negeri atau di atas tanah yang dirizabkan untuk sesuatu maksud awam dan yang tidak diduduki oleh Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan boleh, dengan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri, mengenakan kadar yang tersebut dalam seksyen 127 ke atas nilai tahunan atau nilai tambah semua atau mana-mana bangunan itu dan penduduk bangunan itu adalah bertanggungan membayar kadar tersebut.

(2) Peruntukan Bahagian ini hendaklah terpakai bagi apa-apa kadar yang dikenakan di bawah seksyen (1) kecuali bahawa dalam pemakaiannya rujukan mengenai “pegangan” hendaklah disifatkan sebagai rujukan mengenai “bangunan”, dan rujukan mengenai “pemunya” sesuatu pegangan hendaklah disifatkan sebagai rujukan mengenai “penduduk” sesuatu bangunan.

Kecualian

164. Walau apa pun peruntukan Akta ini, sehingga suatu Senarai Nilaian telah disediakan dan diperakui mengikut Bahagian ini, senarai taksiran yang diberikan atau disediakan di bawah peruntukan mana-mana undang-undang bertulis yang dimansuhkan oleh Akta ini hendaklah, walaupun undang-undang itu dimansuhkan, menjadi asas bagi kadar yang hendak dilevi berkenaan dengan harta berkadar yang terkandung dalam senarai taksiran itu dan senarai taksiran itu hendaklah disifatkan sebagai Senarai Nilaian yang sedang berkuat kuasa.